Masiung (dua kanan) mendengar taklimat oleh Micheal (kanan) dan Azrul (kiri).
TONGOD; Kerajaan Negeri telah mewartakan 700 ekar untuk tapak kilang klinker dan simen bersepadu bernilai RM2 bilion di Kampung Kawayoi, yang terletak 130 kilometer dari Pekan Tongod.
Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. (BCS), Datuk Masiung Banah berkata, daripada jumlah keluasan tersebut, 200 ekar akan digunakan untuk mendirikan kilang dan kuarters pekerja.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dijangka menyempurnakan upacara perasmian pecah tanah pada April tahun ini, katanya.
“Apabila beroperasi kilang itu bakal menyediakan sebanyak 1,000 pekerjaan yang akan ditawarkan kepada warga tempatan.
“Selain itu, kilang itu juga akan membina jalan raya berturap sejauh 26 kilometer daripada Kampung Matiku, Nabawan ke tapak kilang di Kampung Kawayoi menerusi Inarad,” katanya selepas menghadiri majlis dialog bersama penduduk terlibat projek tersebut di Kampung Kawayoi, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, selain pembinaan jalan raya, lebih 5,000 penduduk kampung berdekatan akan turut menikmati pelbagai kemudahan asas.
Sementara itu, Pengurus Besar BCS, Micheal Kinsuan berkata, pihaknya juga akan membina loji air terawat, stesen janakuasa elektrik 40MW dan menara telekomanikasi.
Jelasnya, BCS juga akan mendirikan klinik serta menaik taraf masjid dan gereja sedia ada di kawasan terbabit untuk kemudahan penduduk tempatan.
Katanya, semua infrastruktur dan kemudahan asas yang disediakan itu akan dinikmati lebih 6,000 penduduk di Kampung Kawayoi, Inarad, Susui, Langga dan Tudingan.
Micheal berkata, pembinaan jalan raya dan kemudahan asas itu menelan belanja sebanyak RM350 juta.
Katanya, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) juga turut merancang mewujudkan kompleks pekan baharu di Kampung Kawayoi yang dilengkapi dengan kemudahan balai polis dan bomba.
Apabila beroperasi, kilang klinker dan simen bersepadu itu mampu mengeluarkan sebanyak 5,000 tan sehari atau 1.5 juta tan setahun bagi menampung keperluan simen di Sabah.
Beliau memberi jaminan, harga simen akan lebih murah di pasaran tempatan sebaik sahaja kilang itu beroperasi sepenuhnya.
Menurut Micheal, selain untuk pasaran tempatan pengeluaran simen juga akan dieksport ke negara jiran di Asia.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengurus Besar Kumpulan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Haidar Razif Hisyam Ajaz Nabizam, Pegawai Daerah Tongod. Nelson Domal Ulok dan Timbalan Pengurus Besar SEDCO, Haji Azrul Hj. Ahmad.































