Andi merakamkan gambar kenangan dengan semua yang hadir dalam Program SMD SE.
KOTA KINABALU: Ribuan riders dan peminat motosikal daripada seluruh Sabah serta Sarawak, Semenanjung dan Brunei Darussalam berkumpul pada Program Perhimpunan Permotoran Dua Roda “Sabah Moto Day Special Edition (SMD SE) 2023” yang diadakan di kawasan parkir Kompleks Sukan Likas, di sini, pagi tadi.
Program permotoran terbesar bagi tahun 2023 itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Beliau memuji Rudhi Hariyanto Ghazali iaitu penganjur program yang melibatkan anak-anak belia tempatan ini kerana ia juga melibatkan pelbagai aktiviti permotoran yang menarik serta penglibatan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah.
“Program bukan sahaja menghimpunkan belia-belia permotoran malah memberikan input terbaik berkaitan dengan kesedaran betapa pentingnya bagi sesorang mempunyai lesen dan menjaga keselamatan ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Andi (tiga dari kanan) bergambar sebelum acara bermula.
“Selain itu juga, belia-belia muda sering dikaitkan dengan mat rempit adalah mat gian. Oleh itu, pihak AADK Sabah juga turut bersama-sama hadir bagi memberi input yang sangat berguna kepada semua bahawa betapa pentingnya menjaga kesihatan diri dan jauhi dadah. Buktikan kepada semua orang, bahawa rider-rider bukan mat gian dan rider pun boleh berjaya seperti orang lain.
“Oleh yang demikian, besarlah harapan saya supaya program permotoran seumpama ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dan dibuat sebagai acara tahunan Kelab Dua Roda Bersatu sebagai penganjur utama program ini,” kata Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan.
Beliau juga gembira melihat kebersamaan yang ditunjukkan oleh para riders daripada seluruh pelusuk Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan juga Semenanjung Malaysia.

Andi (depan, duduk) menggayakan motor bersama peminat permotoran yang hadir hari ini, di kompleks Sukan Likas.
ADUN Tanjung Batu itu juga merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras menyumbang tenaga dan idea bagi menjayakan Program SMD SE pada hari ini.
“Saya berharap program ini dapat mengeratkan hubungan sesama kita dan kumpulan belia, disamping dapat memberikan pendedahan dan info yang jelas terhadap tujuan program ini diadakan,” kata ADUN Tanjung Batu itu.
SMD SE 2023 merupakan satu program special edition yang mana penganjur bersama-sama dengan penganjur Borneo Rock Festival berkolaborasi bagi meyatukan jiwa-jiwa permotoran dan jiwa-jiwa rock bersempena di penghujung tahun 2023 ini.
Program ini merupakan program pertama kali yang menggunakan nama SMD SE.

































