Edward dan Julita (tengah) bersama ahli-ahli jawatankuasa khas kerjasama PBS-STAR.
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Khas yang dipertanggungjawabkan untuk merangka skop kerjasama di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini.
Perbincangan tertumpu kepada merumuskan butiran kerjasama bagaimana kedua parti boleh menyumbang kepada matlamat memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dalam keyataan bersama berkata, rumusan itu dalam bentuk Memorandum Kerjasama kedua-dua parti dijangka akan ditandatangani kedua-dua presiden parti tersebut sebelum Tahun Baru Cina 2024.
Menurut mereka, memorandum kerjasama itu akan diperhalusi pucuk kepimpinan kedua-dua parti itu sebelum ditandatangani.
“Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili akan menurunkan tandatangan bagi mengesahkan memorandum kerjasama itu,” kata mereka.
Meskipun tempoh Kerajaan Negeri sekarang berakhir Oktober 2025, namun jalinan persefahaman antara dua parti tersebut perlu diperkukuh kerana terdapat tanda-tanda PRN17 diawalkan ke tahun 2024.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor ketika ditanya pemberita pada 13 Nov membayangkan kemungkinan PRN17 diadakan seawal 2024 meskipun tempoh Kerajaan Negeri sekarang masih berbaki kira-kira dua tahun.
Dalam pertemuan hari ini, STAR diwakili Edward, Datuk Flovea Ng (Wanita), Datuk Jalumin Bayogoh (Penerangan), Kong Soon Choi (Pemuda) dan Anuar Ghani.
Manakala PBS diwakili Julita, Datuk Joniston Bangkuai (Penerangan), Christopher Mandut (Pemuda), Datin Malianah Ugau (Wanita) dan Arthur Sen (Naib Presiden).


































