Dr. Joachim (empat dari kiri) bersama Reindy mempamerkan sijil KAMLOBA di balai raya Kg. Lobou Baru, hari ini.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menggalakkan golongan muda termasuk di daerah ini untuk belajar dan menguasai bahasa asing selain bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.
Beliau mencadangkan mereka belajar dan menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa asing lain selain bahasa Inggeris iaitu sama ada bahasa Jepun, Jerman, Korea atau Cina.
Katanya, bahasa-bahasa asing ini mempunyai teknologi yang lebih canggih yang boleh dipelajari sekiranya mampu menguasai bahasa mereka.

Dr. Joachim (lima dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ahli KAMLOBA serta penduduk kampung Lobou Baru.
“Banyak tourist dari negara lain, dan negara maju dari segi teknologi….jadi, tidak salah kita menguasai bahasa mereka ini,”
katanya pada Program Peningkatan Ekonomi dan Majlis Perasmian Kelab Anak Muda Kampung Lobou Baru (KAMLOBA) yang diadakan di balai raya kampung itu dekat sini hari ini.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyambut baik usaha meningkatkan ekonomi penduduk kampung dan belia Kampung Lobou Baru melalui program yang diadakan itu.
Beliau amat berbangga ada di kalangan anak-anak muda ini yang antaranya lepasan graduan bersama-sama orang kampung dengan memberi ceramah tunjuk ajar kepada anak-anak muda yang masih di bangku sekolah.
“Kita akan terus menyokong penuh usaha ini,” katanya.

Dr. Joachim menandatangani plak dewan mini Kironas selepas menyempurnakan gimik penyerahan kunci dewan baharu itu.
Pada hari yang sama, Dr. Joachim yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menyempurnakan simbolik penyerahan kunci dewan mini Kironas semasa Program Jelajah Keluarga PBS.
Dewan ini akan memberi manfaat kepada lebih 900 penduduk dua kampung iaitu Kg. Kirokot dan Kg. Kilanas Baru.
Beliau turut menyampaikan sumbangan 100 kerusi kepada dewan itu serta bantuan bakul makanan kepada penduduk yang memerlukan.
Dr. Joachim juga menerima permohonan keahlian baharu parti daripada lebih 60 orang yang menyertai cawangan parti di situ.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II, Yubidi Gompoyo; Ketua Anak Negeri (KAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Dominic Ghani; Pengerusi KAMLOBA, Riendy Waddin, Penaung KAMLOBA yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Sharin Mujin; Pegawai E-Kasih Daerah Ranau, Samdin Rijin; Pengerusi JKKK Kg. Kirokot, Jainol Sutirin; Pengerusi JKKK Kg. Kilanas Baru, Denius Usor; kakitangan UPPM DUN Kundasang serta ahli PBS cawangan Kirokot.
































