Georgie (tiga dari kiri) melancarkan Jualan Rahmah Krismas 99 Speed Mart menawarkan barangan asas mampu milik seluruh Sabah.
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) Negeri Sabah melancarkan Jualan Rahmah Krismas, 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Pengarahnya, Georgie Abas menyempurnakan pelancaran itu yang diadakan di Outlet 99 Speed Mart, 1 Borneo Hypermall Kota Kinabalu.
Inisiatif Jualan Rahmah Krismas ini dilaksanakan di kesemua 231 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negeri ini dan dijalankan selama 26 hari mulai esok, 9 Disember 2023 sehingga 3 Januari 2024.
Jualan ini melibatkan sebanyak 36 jenis item pelbagai produk barangan asas dan perlu seperti beras, tepung, air minuman, serbuk pencuci, minyak masak botol 5kg, Milo 1kg, dan sebagainya yang masing-masing ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga jualan sedia ada.
Turut hadir semasa pelancaran adalah Foo Meng Keet, General Manager (East Malaysia), dan Lim Yu Kiun selaku Senior Manager Branches Operation (East Malaysia), 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd.

Inisiatif ini merupakan Jualan Rahmah kali kedua ditawarkan oleh 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd. semasa perayaan bagi tahun ini selepas Jualan Rahmah sempena Hari Raya Aidilfitri sebelum ini.
Georgie berkata, KPDN melihat tambahan diskaun di bawah Jualan Rahmah Krismas yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart ini sebagai tawaran yang berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Sabah, seiring dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
Seterusnya, Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut Hari Krismas yang bakal tiba.
“KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Sabah dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.
“Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan.
“KPDN amat berharap usaha seperti ini mampu menarik perhatian pengguna di negeri Sabah, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan produk yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPDN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 99 Speed Mart (East Malaysia) Sdn. Bhd. di atas inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Sabah, katanya, sambil berharap lebih banyak pemain industri yang lain akan turut sama melaksanakan inisiatif sedemikian.


































