GEORGE TOWN: Polis menahan tiga suspek kes membabitkan seorang lelaki warga emas yang maut ditikam sebanyak 27 kali di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Perak, di sini petang Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, kesemua suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 42 ditahan di sekitar kawasan Jelutong kira-kira pukul 7.30 malam Selasa.
Jelas beliau, suspek-suspek itu merupakan rakan kepada mangsa dan mereka ditahan reman selama tiga hari bermula kelmarin.
”Mereka direman selama tiga hari sehingga 8 Disember ini dan motif pembunuhan belum dapat dikenal pasti,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Seorang lelaki warga emas berusia 60-an maut selepas ditikam 27 kali dengan menggunakan pisau di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Perak, di sini, Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.18 petang itu, mangsa dipercayai ditikam 27 kali di bahagian leher dan seluruh badan oleh suspek yang menaiki motosikal.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.


































