Azizul ketika ditemui media.
PENAMPANG: Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2023 akan berlangsung selama tiga hari, mulai Khamis ini.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Azizul Alias berkata, pengisian sambutan terdiri daripada tiga segmen utama iaitu jualan, program khidmat nasihat agensi kerajaan dan penawaran perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
“Sebanyak 300 reruai dibuka dan pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang tiga hari sambutan diadakan.
“Sambutan ini menjadi platform penjaja dan peniaga kecil untuk mempromosikan produk selain untuk mengiktiraf sumbangan mereka dalam merancakkan ekonomi negeri.
“Dijangka lebih 20 ribu pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan berkenaan,” katanya ketika ditemui media semasa persiapan program berkenaan di sini, pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menjemput orang ramai untuk hadir ke Buhavan Square sebagai tanda sokongan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terlibat.