Anthony Loke Siew Fook sewaktu berucap pada pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
SEREMBAN: Terdapat peningkatan ketibaan pelancong dari luar negara di beberapa buah lapangan terbang di seluruh negara ini sejak beberapa hari kebelakangan ini yang didorong kemasukan tanpa visa termasuk kepada warga China dan India mulai 1 Disember lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) sehubungan itu berkata, Negeri Sembilan yang terletak hampir dengan pintu masuk utama ke negara ini perlu menerima tempias dengan peningkatan itu dengan cara menggiatkan promosi produk-produk pelancongan yang ada di negeri ini.
“Baru-baru ini kerajaan Persekutuan telah pun meluluskan dasar pengecualian visa kepada pelancong dari China, India dan beberapa negara dari Timur Tengah, sudah tentu kemasukan pelancong asing dijangka bertambah, meningkat menjelang tahun depan.
“Malah beberapa hari ini ini lapangan terbang di seluruh negara juga sudah mula sesak kerana ada pertambahan pelancong asing dari negara luar dengan dasar kita mengecualikan visa itu.
“Saya harap Negeri Sembilan juga mendapat tempias daripada kedatangan pelancongan ini, mesti kita usaha supaya Seremban, Port Dickson dapat menarik pelancong, begitu juga Jelebu, Kuala Pilah dan sebagainya, semua daerah kita ada tarikannya, semua mesti usaha untuk promosikan apa yang menarik untuk pelancong datang ke Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2024) 2023 pada hari ketiga, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China, India selain dari Turkiye dan Jordan ke Malaysia mulai 1 Disember lalu.
Sementara itu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada pihak Kementerian Ekonomi bagi pembinaan sebuah stesen baharu kereta api serba moden di Seremban di tapak Stesen Keretapi Seremban sedia ada yang terletak di Jalan Tuanku Antah di sini.
“Projek ini sepatutnya telah dibangunkan sebelum ini selari dengan pembangunan Seremban Sentral, sekarang ini Kementerian Pengangkutan ambil inisiatif untuk memohon daripada Kementerian Ekonomi untuk jadikan ia (stesen baharu keretapi Seremban) sebahagian daripada projek Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di antara Seremban dan Kuala Lumpur.
“Saya harap projek ini dapat dilaksanakan lebih cepat, harap dapat diluluskan, apabila dapat kelulusan maka projek ini dapat dilaksanakan dengan membina stesen baharu di tapak sedia ada dengan janji bangunan dan facade bersejarah dikekalkan,” katanya.