Keadaan mayat wanita yang ditemui dalam rumah tersebut dekat Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran, di Klang, Selangor, kelmarin.
KLANG: Suasana di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran di sini, gempar apabila mayat seorang wanita ditemukan disimen dalam sebuah rumah di kawasan itu, malam Ahad.
Difahamkan, mayat mangsa dipercayai warga asing itu disimen di satu ruang dalam tandas rumah tersebut.
Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kawasan luar kediamannya dipenuhi anggota polis dan bomba, kira-kira pukul 9.30 malam.
“Apabila ditanya, saya terkejut dimaklumkan mengenai penemuan mayat wanita di dalam rumah tersebut. Rumah itu sebelum ini memang pernah disewa warga asing sebelum dihuni pasangan isteri warga tempatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kediaman itu kosong dengan keadaan pintu depan dan belakang terbuka.
Dakwanya, dia turut terkejut melihat anggota bomba mengangkat mayat yang dilihat seperti gumpalan tanah liat.
“Saya difahamkan bahawa bomba membantu untuk memecahkan simen bagi mengeluarkan mayat tersebut.
“Tempat yang disimen itu dipercayai kolah rumah berkenaan yang didakwa bocor sebelum ini,” katanya yang menetap di situ lebih 30 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita setakat ini tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan wanita asing. Namun, kita masih menunggu laporan bedah siasat dan menjalankan siasatan menyeluruh,” katanya.
Tegas beliau, polis belum membuat tangkapan berkaitan kes berkenaan.
“Kita bagaimanapun sedang mempergiatkan usaha mengesan dua lelaki disyaki suspek kes berkenaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.