Anifah Aman
KUALA LUMPUR: Tan Sri Anifah Aman memohon supaya kerajaan Persekutuan mempertimbang pembinaan jambatan yang menghubungkan antara Sabah dengan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Utusan Malaysia, Ahli Dewan Negara yang juga bekas Menteri Luar itu berkata, pembinaan jambatan itu akan menyediakan kemudahan akses yang boleh menggerakkan industri pelancongan kerana penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei mudah tiba ke wilayah berkenaan.
“Saya ingin memohon agar kerajaan mempertimbang pembinaan jambatan yang menghubungkan Sabah dengan Labuan.
“Ketibaan pelancong-pelancong asing dari luar negara juga akan membawa aliran tunai dan dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi Labuan,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Negara kelmarin.
Mengulas lanjut, katanya, beliau berharap kerajaan Persekutuan memberi jaminan keselamatan kepada kerajaan negeri melihat ketegangan geopolitik ekoran perang Rusia-Ukraine, Israel-Palestin dan lalu lintas laut di Selat Taiwan yang menarik perhatian kuasa-kuasa besar.
“Saya berharap kerajaan akan merangka Rancangan Induk Maritim jangka panjang yang menggariskan visi, misi, strategi, program, panduan serta garis panduan kebangsaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mahu tahu status projek berimpak tinggi yang telah diluluskan sebelum ini menyaksikan kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa untuk melaksana projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak.
“Misalnya, apakah status pembinaan Terminal Kontena Telur Sepanggar yang telah diluluskan semasa Rancangan Malaysia Ke-11? Apakah juga perkembangan mengenai Paip Gas Negeri Sabah (SSGP) yang telah dibuat pembayaran interim?
“Saya boleh memanjangkan senarai ini, namun, saya tidak berniat menidakkan usaha kerajaan tetapi saya berharap kerajaan tidak meninggalkan kami dalam kegelapan,” katanya.