Rafie (dua dari kanan) menerima Anugerah “Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA)” kategori “SME Tourism, Boutique Resort” daripada Ewon (tengah) pada BBEA Awards Gala 2023.
KUALA LUMPUR : Taman Bandukan Riverside Resort Sdn Bhd (TBRR) Keningau yang bakal menyambut ulang tahun ke 22 pada Oktober 2024 terpilih menerima anugerah pengiktirafan “Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA)” kategori “SME Tourism, Boutique Resort” pada BBEA Awards Gala 2023.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan anugerah itu pada malam gala yang diadakan di Mandarin Oriental Hotel, di sini, malam tadi.
Pengarah Urusan TBRR, Rafie Robert merupakan satu-satunya penerima anugerah dalam kategori tersebut daripada 70 penerima anugerah dalam pelbagai kategori perusahaan dari seluruh Malaysia.
Beliau berharap penganugerahan ini akan membuka pintu kepada produk-produk pelancongan di sekitar daerah Keningau untuk turut diteroka dan menjadi destinasi pelancongan kepada pengunjung yang datang ke Sabah sama ada pelancong domestik atau luar negara.
Sementara itu, dalam temu bual rancangan “Apa Khabar Malaysia” di Wisma Bernama pada Rabu (29 November 2023), sehari sebelum hari penganugerahan, Rafie Robert berkata, Taman Bandukan Riverside Resort masih dalam fasa pembangunan dan berharap agar ianya akan mencapai taraf destinasi pelancongan antarabangsa.
“Kita berharap TBRR akan menjadi tarikan utama pelancong luar yang berkunjung ke Sabah,” katanya.
Pengerusi Bumiputera Business Excellence Awards 2023, Mahathir Mahzan dalam ucapannya berharap akan ada lebih banyak wajah baharu dan lama yang akan tampil dan turut serta menerima pengiktirafan berprestij ini pada masa akan datang.
“Sesungguhnya, anugerah ini bakal menjadi pembakar semangat untuk memastikan lebih banyak kejayaan yang luar biasa yang dicapai oleh usahawan dan syarikat-syarikat bumiputera”, katanya.
Sementara itu, Ewon semasa berucap berkata, pencapaian cemerlang para usahawan bumiputera akan menjadi pencetus inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus mencapai kecemerlangan yang sama.
Sehubungan itu, beliau mahu agar usahawan berjaya membantu usahawan-usahawan lain agar turut sama mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.
“Saya yakin usahawan yang menerima anugerah pada malam ini boleh menjadi pencetus inspirasi dan motivasi kepada usahawan lain untuk meneladani kepimpinan dan kecemerlangan atau menceburi bidang keusahawanan.
“Kita memerlukan usahawan-usahawan berjaya untuk melengkapkan wawasan besar negara menjadikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) jaguh serantau dan mengantarabangsakan sektor PKS,” katanya.
Turut hadir Pengerusi BBEA Mahathir Mahzan dan Ketua Pengawah Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.
Ewon berkata, kementeriannya terbuka menerima pandangan dan cadangan pelbagai pihak mengenai pembangunan keusahawanan untuk mencapai wawasan negara menjadikan PMKS jaguh serantau.
“Itu sebabnya saya memilih untuk hadir dua majlis penyampaian anugerah berkaitan keusahawanan pada malam ini sebagai tanda sokongan saya kepada para usahawan agar sama-sama membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan.
“Kehadiran saya dalam kedua-dua majlis anugerah ini juga adalah sokongan saya, kepimpinan negara terutamanya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) boleh bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membangunkan keusahawanan di negara ini,” katanya.
Pada majlis itu, lebih 60 usahawan bumiputera, perniagaan dan personaliti korporat daripada pelbagai industri menerima pengiktirafan atas kecemerlangan perniagaan mereka.
Yayasan Bank Rakyat (YBR) turut menerima anugerah kategori Khas iaitu anugerah utama bagi kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atas kecemerlangan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Anugerah diterima oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang dan Pengurus Besar YBR Rizal Abdul Ghani.
Selain itu, atas jasa dan kecemerlangan dalam industri muzik beberapa penyanyi lagenda Malaysia turut menerima anugerah, antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Zanial Abidin dan Datuk Nora Ariffin.