Shahelmey (tengah) berbual dengan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ser Dr. Jeffrey Kitingan (kanan) dan Pembantu Menteri KKR, Datuk Limus Jury pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyedari bahawa walaupun pemantauan dilakukan, isu kerosakan jalan yang tidak diselenggara dengan teratur masih berlaku dan dari masa ke semasa sentiasa berusaha mendapatkan dana agar kerja pembaikan yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Menterinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, dari segi jadual pemantauan, syarikat-syarikat konsesi dan kontraktor penyenggaraan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah melaksanakan pemeriksaan rutin setiap minggu bagi setiap jalan di bawah senggaraan syarikat masing-masing.
Bagi jalan-jalan dikategorikan sebagai Jalan Protokol, katanya, pemeriksaan rutin adalah sebanyak dua kali seminggu.
Selain itu jelasnya, Pejabat-pejabat JKR Bahagian dan Daerah juga akan melakukan pemantauan setiap bulan untuk memastikan pelaksanaan kerja penyenggaraan mematuhi jadual, standard dan spesifikasi penyenggaraan.
“Laporan ketidakpatuhan (NCR) akan diberikan kepada syarikat konsesi/kontraktor penyelenggaraan sekiranya kerja penyenggaraan didapati tidak mematuhi jadual, standard dan spesifikasi penyenggaraan yang sepatutnya. Sehingga 30 Oktober 2023 sebanyak 2,230 NCR telah diberikan kepada syarikat konsesi/kontraktor penyelenggaraan untuk tindakan pembetulan/penyelenggaraan semula.
“Ibu pejabat JKR Sabah juga turut melakukan lawatan pemantauan ke daerah-daerah pada setiap tahun bagi memastikan kerja penyelenggaraan oleh syarikat konsesi / kontraktor penyelenggaraandan pemantauan kerja oleh pejabat-pejabat JKR Bahagian dan Daerah dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi jadual, standard dan spesifikasi penyenggaraan yang ditetapkan,” katanya kepada Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (Tanjong Papat) yang bertanya adakah masalah kerosakan jalan raya dipantau oleh pihak JKR dari semasa ke semasa sebelum kerosakan tersebut menjadi isu aduan daripada penduduk-penduduk setempat dan jika ada, apakah jadual pemantauan tersebut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Terdahulu, Shahelmey berkata, pemantauan jalan raya ada dilakukan oleh pihak JKR dan syarikat konsesi atau kontraktor penyenggaraan (bagi jalan luar bandar) secara berkala di bawah skop penyenggaraan rutin bagi memastikan keadaan jalan selamat dilalui dan mengemukakan laporan segera sekiranya terdapat kerosakan yang memerlukan pembaikan.
Katanya, JKR melakukan pemantauan jalan raya dari semasa ke semasa dan melakukan penyelenggaraan melalui tiga kategori nilai kerja iaitu Routine Maintenance, Periodic Maintenance dan Emergency Maintenance.
Pemantauan yang dilakukan termasuklah melakukan rondaan berkala dan pemeriksaan rutin oleh syarikat konsesi serta melalui aduan orang awam, tambahnya.
“Bagi prosedur Routine Maintenance yang dibuat oleh syarikat konsesi, jalan raya yang didapati rosak seperti crack/pothole, perlu disenggara secepat mungkin (24 jam untuk Jalan Protokol dan tiga hari untuk Jalan Bukan Protokol).
“Jalan Protokol adalah merujuk pada jalan-jalan utama di kawasan bandar dan jarak terkumpul berjumlah 80 km. Sementara itu, Jalan Bukan Protokol adalah berjumlah 4,731 kilometer di sekitar kawasan bandar dan 560 km jalan berturap di kawasan luar bandar.
“Manakala, penyelenggaraan secara periodic maintenance dilaksanakan mengikut keperluan bagi mengelakkan kerosakkan yang lebih besar berpunca dari tindakan lalu lintas dan cuaca seperti resurfacing, mengecat garis jalan, menggred dan menabur semula batu bahu jalan,” katanya.
Katanya, emergency maintenance pula diperlukan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa jalan yang terjadi di luar bidang rancangan (luar jangka) penyenggaraan seperti tanah tebing runtuh, pokok tumbang, kerosakan jalan/jambatan disebabkan oleh banjir dan sebagainya.

































