Menara Kinabalu
KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Persekutuan memberikan kemasukan 30 hari tanpa visa ke Malaysia dari China dan India mulai 1 Disember 2023 adalah merupakan petanda baik sasaran Sabah sebanyak 2.2 juta ketibaan tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini Sabah sudah mencapai 85.6 peratus sasaran tersebut.
“Saya ada sebutkan bahawa kini industri pelancongan kembali normal, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah.
“Sehingga kini, Sabah dihubungkan dengan lapan bandar utama China – Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou, Wuhan, Macau dan Hong Kong dengan 63 penerbangan mingguan dan kapasiti tempat duduk sebanyak 11,360,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haji Hajiji Haji Noor
Rekod dari Januari hingga September tahun ini menunjukkan jumlah ketibaan dari China sebanyak 45,801 berbanding hanya 4,162 ketibaan bagi tempoh sama tahun lepas, tambahnya.
Bagi ketibaan warga India ke Sabah, katanya, terdapat aliran meningkat dengan 4,176 ketibaan sehingga September tahun ini berbanding 2,734 bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Menteri mengulangi bahawa dengan pengenalan dasar kemasukan 30 hari tanpa visa untuk pelawat dari dua negara paling ramai penduduk di dunia, ia akan membantu dalam mempercepatkan proses pemulihan bagi sektor pelancongan.
“Kami berharap dapat melihat lebih banyak sambungan udara untuk meningkatkan ketibaan pelawat ke Sabah,” katanya.
Sebagai respons kepada pendirian Malaysia, dilaporkan China telah memutuskan untuk menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pelancong yang memegang pasport biasa dari Malaysia, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol dari 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, rakyat dari Malaysia dan negara Eropah lain boleh memasuki China tanpa visa dan tinggal tidak lebih daripada 15 hari untuk perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga dan tujuan transit.


































