Asits menyampaikan cenderamata kepada Roslie (dua dari kiri).
PAPAR: Jumlah pengidap diabetes global dijangka meningkat masing-masing kepada 643 juta menjelang 2030 dan 783 juta pada tahun 2045.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuatim berkata, jumlah tersebut berdasarkan 537 juta orang dewasa mengidap penyakit diabetes yang direkodkan pada tahun 2021 dan menyebabkan 6.7 juta kematian dengan kos rawatan berjumlah lebih kurang 966 bilion USD.
“Seorang daripada dua orang dewasa (44%) tidak didiagnosis (240 juta) dan majoriti adalah pesakit diabetes jenis 2.
“Manakala, tiga daripada empat yang mengidap diabetes tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
“Justeru, diabetes menyebabkan 6.7 juta kematian dan sebanyak lebih kurang 966 bilion USD dibelanjakan hanya untuk merawat pesakit diabetes.”
Bagi negara kita pula, kos penjagaan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi merawat pesakit diabetes adalah sejumlah RM4.48 billion.
“Hal ini bukan sahaja meningkatkan beban kewangan kerajaan tetapi kerugian produktiviti bagi pesakit diabetes adalah sekitar anggaran RM5.7 bilion yang disebabkan oleh kematian pramatang, ketidakhadiran bekerja disebabkan sakit dan pekerja yang hadir di tempat kerja tidak dapat bekerja pada kapasiti penuh,” ujarnya.
Juil dalam teks ucapannya yang disampaikan Setiausaha Sulit Kepada Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Roslie Ibrahim memaklumkan diabetes juga dijangka menjejaskan satu dalam sembilan juta orang (640 juta) menjelang tahun 2030.
“Hampir separuh daripada pesakit diabetes tidak didiagnosis. Apabila diabetes tidak dikesan dan tidak dirawat dengan baik, ia boleh membawa kepada komplikasi yang serius dan berpotensi mengancam nyawa.
“Berdasarkan kajian terkini oleh International Diabetes Federation (IDF) pada May 2023 melibatkan 700 pesakit dari tujuh buah negara menunjukkan tujuh daripada 10 responden telah didiagnosis sebagai akibat komplikasi diabetes.
“Manakala, sembilan daripada 10 mengalami sekurang-kurangnya satu komplikasi berkaitan diabetes.
“Paling membimbangkan, ramai tidak menyedari komplikasi seperti penyakit jantung (47 %) dan strok (65%),” jelas beliau.
Menurut Juil, sekiranya tidak dirawat, diabetes boleh meningkatkan pelbagai komplikasi, seperti penyakit jantung, Nefropati Diabetes (Kegagalan buah pinggang), penyakit periodontal (Masalah gigi dan gusi), Depresi (Kemurungan), Retinopati Diabetes (Kerosakan pada retina), Strok, Diabetes Ulcer dan mati pucuk.
Tambah beliau, berhenti merokok juga merupakan salah satu daripada langkah pencegahan Diabetes dan boleh mendapatkan bantuan melalui perkhidmatan berhenti merokok dengan melayari sesawang jomQuit (www.jom quit.com).
Malah, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati menerusi amalan gaya hidup sihat dengan melakukan pelbagai aktiviti fizikal dan senaman sebanyak 150 minit seminggu dan makanan secara sederhana dan seimbang mengikut Pinggan Sihat Malaysia #SukuSukuSeparuh.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2023 di Dewan Serbaguna Kampung Biau dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Asits Sanna dan Timbalannya, Dr. Maria Suleiman, Pegawai Kesihatan Daerah Papar Dr. Alfred Aldrin yang juga Pengerusi Pelaksana Sambutan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Limbahau Datuk Johnny Mositun.
Hari Diabetes Sedunia (World Diabetes Day) merupakan kempen kesedaran diabetes disambut secara global pada 14 November setiap tahun dan telah dilancarkan sejak tahun 1991 oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang bertujuan menyelaras aktiviti mempromosikan kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan pesakit diabetes yang semakin meningkat di seluruh dunia.
Pada tahun ini, fokus ditumpukan kepada pemahaman faktor risiko diabetes jenis 2, dengan matlamat menangguhkan atau mencegah komplikasi yang berkaitan.


































