Ellron Angin
KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin menyokong penuh permintaan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan agar Sabah dan Sarawak diberi peruntukan secukupnya oleh Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan kedua-dua negeri akan terus maju dalam pembangunan belia dan sukan.
Difahamkan sebanyak RM112.29 Juta diperuntukkan bagi Pembangunan Belia dan Sukan dalam Belanjawan Persekutuan 2024.
Permintaan ini telah disuarakan oleh Dr. Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah merangkap Menteri Perikanan, Pertanian dan Industri Makanan Sabah semasa mengulas bajet Kementerian Belia dan Sukan dalam sidang perbahasan di Parlimen Selasa lepas.
“Sebagai Menteri di Kementerian Belia dan Sukan Sabah, saya menyokong penuh permintaan Dr. Jeffrey agar Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan dapat memenuhi permintaan tersebut,” kata Ellron.
“Sebagai rakan kongsi dalam Malaysia, Sabah dan Sarawak harus menerima agihan peruntukan yang adil dan saksama bagi membolehkan rakyat kedua-dua negeri dapat menikmati fasiliti sukan mahupun program-program yang melibatkan pembangunan prestasi atlet dan pembangunan modal insan belia. Dalam mengagihkan peruntukan tersebut, Kerajaan Persekutuan juga perlu mengambilkira saiz negeri dan bilangan penduduk di kedua-dua negeri,” tambahnya lagi.
Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa Sabah dan Sarawak adalah antara negeri penyumbang atlet untuk mewakili negara ke sukan peringkat antarabangsa dan telah membantu mengharumkan nama Malaysia melalui pungutan pingat kemenangan.
Walau bagaimanapun disebabkan ketiadaan dana yang mencukupi, atlet-atlet tidak berpeluang untuk menyerlahkan potensi diri di peringkat kebangsaan, tambahnya.
“Contohnya baru-baru ini pasukan bola sepak Sabah bawah 15 dan 18 tahun Majlis Sukan-Sukan Sabah (MSSS) hampir tidak dapat menyertai pertandingan bolasepak Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) di Johor kerana tidak mampu membayar tiket kapal terbang dan penginapan. Walau bagaimanapun, atas tanggungjawab supaya pasukan tersebut dapat bersaing maka Kerajaan Negeri Sabah telah menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan mereka.”
“Meskipun isu berkenaan sudah diselesaikan, kita tidak mahu “pisang berbuah dua kali” kita tidak mahu sekali lagi menghampakan harapan dan kerja keras anak-anak muda ini,” katanya.
Justeru itu, katanya, pihak Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah berharap agar pihak persekutuan memberikan tumpuan dan perhatian terhadap permintaan ini agar tidak merencatkan pembangunan bakat sukan anak-anak muda Sabah dan Sarawak.

































