Masidi membentangkan Belanjawan Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam negeri Sabah termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan Pekerja Sambilan Harian.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Bayaran Khas Kewangan ini akan dibayar secara dua kali iaitu RM1,000 dibayar pada bulan Januari 2024 dan RM1,000 lagi dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri 2024.
“Saya berharap insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk terus bersemangat dan berusaha dengan lebih gigih lagi demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
“Tidak dapat dinafikan, pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bukan sahaja telah berjaya membangunkan ekonomi negeri dengan membawa masuk banyak pelaburan ke Sabah, tetapi juga berjaya menyatupadu dan mengekalkan keharmonian rakyat serta meningkatkan rizab Kerajaan Negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.