Rafie Robert
KENINGAU: Festival Crocker Range ke-6 akan diadakan di Padang Bandaran Keningau di sini selama empat hari bermula esok (23 Nov).
Ia dianjurkan oleh Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Daerah Keningau (MTPDK), Majlis Daerah Keningau (MDK) dan Kelab Belia Kadazandusun Keningau serta pelbagai jabatan/agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert yang juga pengerusi penganjur festival berkata, festival terbesar di daerah Keningau ini dianjurkan bagi mempromosi produk pelancongan serta kebudayaan di Pedalaman Atas khususnya di Keningau.
Penganjuran ini salah satu program untuk merangsang ekonomi penduduk setempat dan juga menyokong produk-produk yang berasaskan komuniti kampung di daerah ini, tambahnya.
“Pelbagai aktiviti bakal diadakan seperti pertandingan Miss Crocker Range, Kids Pageant, pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, pertandingan masakan tradisi, pertandingan gubahan bunga, pertandingan body physique, pertandingan gusti lengan, perarakan budaya, pertandingan manangon (bercerita), pertandingan koir, pertandingan muzik tradisi (sompoton/kulintangan), auto-show, pertandingan tarian kecergasan, pameran etnik, pameran dan jualan kraftangan, pameran dan jualan hasil pertanian dan banyak lagi.
“Selain itu, artis jemputan tempatan turut menghiburkan kepada pengunjung seperti Stacy, Marsha Milan, Santiana Ramli, Elica Paujin dan Firman (AF) serta banyak lagi kumpulan persembahan yang akan membuat persembahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rafie berkata, sejak penganjuran terakhir pada tahun 2018, festival ini tidak dapat diteruskan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda sehingga menyebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Sejak itu katanya, produk-produk pelancongan di Keningau merosot dan memerlukan pemulihan semula.
“Oleh itu, pihak persatuan berusaha dalam memberi sokongan kepada produk- produk pelancongan di Keningau dengan penganjuran seperti ini.
“Pada bulan Ogos lepas, Pusat Informasi Pelancongan Daerah Keningau telah diwujudkan bagi memudahkan pengunjung ataupun pelancong luar untuk memperoleh maklumat produk-produk pelancongan di Keningau,” ujarnya.
Beliau menjemput seluruh rakyat Sabah untuk datang ke festival terbesar di Keningau untuk memberi sokongan kepada industri pelancongan di daerah ini.






























