PETALING JAYA: Polis menahan dua lelaki dipercayai melontar mercun ke arah anggota polis selain menghalang penjawat awam menjalankan tugas di kawasan perumahan Lembah Subang, Kelana Jaya di sini, pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd. Hamid berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an itu ditahan di kawasan perumahan terbabit selepas pihaknya menerima aduan orang awam memaklumkan sekumpulan lelaki bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam di lokasi kejadian pada 4.35 pagi.
“Bertindak atas maklumat, dua kenderaan peronda yang dibantu anggota Task Force dari Balai Polis Kelana Jaya ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Semasa pasukan polis tiba di lokasi, didapati kira-kira 50 penduduk perumahan tersebut berkumpul menunjukkan perasaan marah akibat bunyi mercun berterusan sehingga mengganggu ketenteraman awam.
“Anggota dan kenderaan polis yang berada di lokasi kejadian turut dilontarkan mercun oleh suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, semakan polis mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua memiliki empat rekod kesalahan jenayah dan satu kesalahan dadah.
Tambahnya, kedua-duanya direman dua hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Orang ramai dinasihatkan mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” ujarnya.