Hajiji menuangkan ais kering sebagai gimik untuk menandakan kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Huawei.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd untuk mempercepatkan inisiatif transformasi digital di Sabah.
Menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di ibu pejabat Huawei di Shenzhen, China, hari ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, perkongsian inj merupakan satu lonjakan penting ke arah masa depan digital bagi Sabah.
“Perkongsian dengan Huawei Technologies ini akan memperkasakan negeri kita dan rakyatnya untuk meraih faedah inovasi teknologi, memupuk pertumbuhan ekonomi dan perkhidmatan awam yang lebih baik.
“Saya gembira untuk menyatakan bahawa di bawah MoU ini, Huawei Technologies akan menyediakan khidmat perundingan dan nasihat dalam bidang pertanian, pembuatan pintar di bawah Industri 4.0, pelancongan, perancangan bandar pintar, e-dagang, infrastruktur digital, ketersambungan inklusif dan kerajaan digital.
“Ini akan sangat membantu dalam mencapai aspirasi kami untuk mendigitalkan Kerajaan Sabah,” katanya.

Hajiji menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Zainuddin (duduk kedua kiri) mewakili Kerajaan Sabah dan Sun, (duduk kedua kanan).
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata: “Ketika Sabah meneruskan visinya untuk ekonomi digital yang berkembang maju, Huawei bersedia untuk menyokongnya dalam membina sebuah negeri yang pintar, inovatif secara digital dan mampan.”
Selain itu, di bawah MoU ini, Huawei Technologies akan meneroka usaha kerjasama untuk memulakan pelaksanaan perkhidmatan digital yang sedia AI dan berteraskan data untuk Kerajaan, perniagaan dan masyarakat.
Menandatangani MoU bagi pihak Kerajaan Sabah ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Zainuddin Aman, manakala Simon Sun, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, menandatangani untuk Huawei.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Pengarah Lembaga Huawei dan Presiden Huawei Digital Power, Hou Jinlong dan Presiden Sektor Awam Global Huawei, Xia Zun.
Sebelum majlis menandatangani perjanjian itu, Ketua Menteri turut dibawa melawat Huawei Technologies mengenai operasi bandar pintar, pendidikan pintar di Dewan Pameran Von Neumann Perniagaan Huawei Enterprise.


































