Sammy Newton
PENAMPANG: Polis menahan dua orang wanita termasuk seorang ejen hartanah yang disyaki terlibat dalam dua kes tipu berasingan di sini Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek pertama yang berusia 44 tahun dan belerja sebagai ejen hartanah disyaki terlibat dalam kes urusan jual beli tanah lot.
Katanya, suspek didakwa memperdaya mangsa untuk urusan jual beli lot tanah yang tidak wujud.
“Mangsa telah menyerahkan sejumlah wang deposit tunai bernilai rm85,000 kepada suspek bagi urusan pembelian tanah lot namun suspek telah membelanjakan wang tersebut untuk kegunanaan peribadi tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pemilik tanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes kedua melibatkan seorang wanita tempatan berumur 31 tahun yang disyaki terlibat dengan kes penipuan pinjaman wang tidak wujud, kata Sammy.
“Suspek didakwa memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang yang tidak wujud.
“Mangsa telah diperkenalkan kepada abang suspek untuk tujuan membuat pinjaman wang dan telah dibawa ke sebuah syarikat pinjaman wang.
“Tidak lama kemudian suspek telah memperdaya mangsa kononnya abang suspek telah memukul individu yang menguruskan pinjaman wang tersebut dan bertindak meminta sejumlah wang daripada mangsa untuk tujuan ikat jamin polis.
“Akibat terpedaya mangsa kemudiannya telah mendepositkan sejumlah wang bernilai RM7,200 menerusi beberapa transaksi ke dalam akaun suspek,” katanya.
Menurutnya, kedua–dua suspek kes tipu tersebut berjaya diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. dan telah direman untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sammy berkata, mutakhir terdapat peningkatan ketara melibatkan kes penipuan dalam transaksi kewangan.
Beliau menasihati masyarakat supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan transaksi kewangan kepada individu ataupun urusan jual beli yang meragukan.


































