Dr. Morni menyampaikan anugerah Pelajar Terbaik SIDMA.
KOTA KINABALU: Seramai 145 graduan Kolej SIDMA menerima diploma masing-masing Majlis Konvokesyen kali ke-9 kolej itu yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di sini, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, 126 graduan menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, dan 19 yang lain menerima Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif bagi KKIP Aerospace Training Centre, Dato’ Ir. Ts. Dr. Mohamad Dali Isa yang memuji Kolej SIDMA sebagai salah satu institusi pengajian tinggi swasta terkemuka yang dilengkapi dengan infrastruktur teknikal semasa dan dengan itu memberikan suasana kondusif bagi para pelajarnya.
Beliau berkata, program Pendidikan Awal Kanak-Kanak sangat terbukti kerana Kolej SIDMA selangkah ke hadapan berbanding kolej lain dalam mengiktiraf kepentingan pendidikan awal bermula dari penjagaan kanak-kanak hingga ke tadika.
“Pendidikan adalah proses pembelajaran semasa dan saya secara peribadi berharap semua graduan yang berada di sini hari ini akan terus belajar,” katanya.

Dr. Morni menyampaikan anugerah Pelajar Terbaik SIDMA.
Beliau berkata, Kolej SIDMA adalah sebuah kolej tempatan yang telah mencapai kategori berdaya saing dan diiktiraf di Sabah.
“Saya difahamkan Kolej SIDMA menawarkan pendidikan pengajian tinggi dan mengadaptasi pembelajaran abad ke-21.
“Kolej ini juga mengutamakan pendekatan pembangunan holistik di mana pelbagai pengetahuan dan kemahiran akan diasah agar para graduan akan mudah memasuki alam pekerjaan ataupun memulakan perniagaan sendiri selaras dengan permintaan industri terkini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kolej SIDMA, Prof. Dr. Morni Kambri berkata, penjaga atau tenaga pengajar memiliki kelayakan dalam bidang berkenaan perlu diwajibkan sebagai syarat operasi kepada mereka yang membuka pusat asuhan bagi kanak-kanak berumur dalam lingkungan 3 hingga 5 tahun.
Beliau berkata, memiliki diploma atau ijazah pendidikan awal kanak-kanak dapat meningkatkan kualiti dan tahap profesionalisme pendidikan seiring dengan peredaran semasa.
Katanya, sekiranya guru tidak diberi kursus cukup dan kurang tahap profesionalisme, maka kesannya akan dilihat pada kanak-kanak.
“Guru adalah tunjang utama bagi merealisasikan impian bagi orang yang dipimpinnya. Di samping itu, guru juga menjadi pemula dalam menunjukkan kebaikan,” katanya.
Dr. Morni berkata, pendidikan adalah satu aspek yang sangat penting dalam memastikan mereka ini akan menjadi insan yang berpengetahuan tinggi dan memiliki nilai-nilai murni kehidupan.
“Pendidikan prasekolah peringkat tabika merupakan pendidikan formal yang terawal dalam perkembangan hidup seseorang kanak-kanak. Ia menjadi tapak yang boleh menyemaikan rasa suka dan cintakan pengetahuan dan juga sekolah.
“Ibu bapa meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada bakal-bakal pemimpin ini dapat membesar dengan jayanya bukan sahaja dalam bidang akademik malah juga mempunyai jati diri yang kuat dan kukuh,” katanya.
Dalam konvokesyen kali ini, Laiyne Basius telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2023 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, manakala Anugerah Pelajar Terbaik bagi program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Alona Jane Chin Shu Kee.
Kolej SIDMA menawarkan program lain melalui kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam pelbagai bidang pengajian yang sangat diperlukan dan melengkapi permintaan pelbagai industri di Malaysia pada masa kini.
Antaranya adalah Pengajian Asasi Seni, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian).
Manakala dua lagi merupakan program Ijazah Sarjana Pengurusan (MIM) dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Tidak ketinggalan dua program di bawah Kolej SIDMA sendiri iaitu Diploma Pengursan dan Diploma Pengurusan Sukan.


































