Keadaan kenderaan dipandu wanita dihempap pokok dalam kejadian di Jalan Ulu Yam- Gombak kelmarin.
PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya dihempap pokok di Jalan Ulu Yam-Gombak, menghala ke Ulu Yam, di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.14 petang.
“Lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati sebatang pokok menghempap MPV jenis Perodua Alza,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Tambahnya, kerja-kerja memotong pokok dilakukan dan mangsa berjaya dibawa keluar 7.10 malam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya


































