PETALING JAYA: Kehilangan seorang wanita sejak Rabu lalu terungkai apabila dia ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dalam kenderaannya di tapak parkir Restoran Jejantas Sungai Buloh arah utara kelmarin.
Mayat wanita berkenaan ditemukan pada pukul 10.50 pagi selepas menerima panggilan kecemasan MERS 999.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kota Damansara bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Sampai di lokasi, pihak polis menemukan mayat seorang wanita berada dalam sebuah kereta jenis Honda City.
“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 tahun dalam kenderaan tersebut yang berkunci,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Menurut beliau, pihaknya turut menemukan satu periuk berisi arang batu yang dibakar dalam kereta terbabit.
“Mangsa juga dilaporkan hilang sejak Rabu lalu oleh keluarganya di Taman Kepong, Kuala Lumpur.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk mengetahui punca kematian serta ujian saringan Covid-19,” jelasnya.
Tambah beliau, mana-mana pihak yang mempunyai makluman mengenai kejadian atau mengenali mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


































