Pasukan bomba mengusung mangsa keluar daripada gaung. – Ihsan Bomba
RANAU: Dua orang cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sendiri lalu terjunam ke dalam gaung di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian itu berlaku di Jalan Nalapak Ranau pada jam 6.54 petang.
“Panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan enam anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Becket Gumat dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 22 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan terbabas sendiri lalu terjatuh ke dalam gaung.
“Terdapat dua orang mangsa, lelaki dan perempaun terlibat mengalami kecederaan. Pasukan Bomba bertindak menyelamat mengeluarkan mangsa tersepit dalam kenderaan terlibat,” katanya.
Menurut Ridwan, pasukan EMRS Bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dan seterusnya menghantar mangsa tersebut ke hospital menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Tiada maklumat mangsa diperolehi, katanya, sambil menambah, operasi ditamatkan pada jam 8.20 malam setelah dipastikan tiada lagi bahaya yang wujud.


































