Anna Bell @ Suziena Perian
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Anna Bell @ Suziena Perian menyeru dan berharap agar pihak Kerajaan Persekutuan mengambil serius akan kesulitan dihadapi orang awam ketika berurusan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan.
Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Anna Bell @ Suziena Perian berkata, tindakan segera perlu diambil bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan sekaligus menangkis persepsi negatif rakyat.
“Dalam masa yang sama tindakan untuk menaik taraf perkhidmatan yang sedia ada perlu dilaksanakan bagi kemudahan masyarakat untuk berurusan,” katanya mengulas masalah tersebut yang disiarkan dalam sebuah portal berita kelmarin.
Anna berkata, rakyat di Sandakan menyuarakan rasa kecewa dengan sistem perkhidmatan JPN Sandakan kerana walaupun hanya bagi urusan mendapatkan pengesahan dokumen, mereka terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.
“Rata-rata masyarakat yang ditemu bual merungut dengan tahap kecekapan sistem JPN Sandakan yang masih kurang memuaskan.
“Isu ini telah lama berlarutan dan perlu diambil tindakan segera bagi menangani isu yang berlaku.
“Saya sebagai Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan juga sebagai rakyat Sandakan amat memahami kekangan yang berlaku sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya rakyat di daerah Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
































