Ellron merakamkan gambar kenangan bersama-sama juara dunia.
KOTA KINABALU : Empat orang juara dunia dalam World Armwrestling Championship 2023 menerima sambutan kepulangan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) di sini semalam.
Antara atlet gusti lengan Sabah yang berjaya merangkul gelaran juara dunia ialah Joffey Jolly (Senior Lelaki Tangan Kanan 70 Kg), Wayner Weew Oliver ( Bawah 18 Tahun Tangan Kanan 63 Kg), Junior Daniel Marcus ( Bawah 15 Tangan Kanan 70kg) dan Nathanael Evander Sooyon ( Bawah 15 Tahun Tangan Kiri 70 Kg).
Turut bersama mereka ialah atlet-atlet lain dari Sabah yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan bersama-sama dengan Persatuan Gusti Lengan Sabah, ahli keluarga, sahabat handai dan peminat-peminat sukan Gusti Lengan tempatan.
Ellron berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh anak-anak Sabah dalam kejohanan berprestij tersebut.
Beliau juga berharap sukan gusti lengan ini dapat disebar luaskan lagi bukan sahaja di Sabah malah ke seluruh Malaysia serta dipertandingkan ke peringkat SUKMA dan Sukan SEA bagi mempopularkan lagi sukan ini.
Kejohanan ini menyaksikan pasukan Malaysia berada di kedudukan kelima dengan pungutan pingat 10 emas, lapan perak dan 12 gangsa dibelakang Amerika Syarikat, India, Poland dan Sweden.
Daripada 10 emas yang dirangkul oleh pasukan kebangsaan, atlet Sabah telah membolot empat emas selebihnya satu perak dan tiga gangsa.
Difahamkan kejohanan itu berlangsung selama tujuh hari (25 September hingga 1 Oktober) di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur menampilkan penyertaan sebanyak 31 buah negara dan 500 orang atlit seluruh dunia.
Seramai 14 orang atlet Gusti Lengan Sabah berada dalam skuad kebangsaan semasa kejohanan tersebut.


































