Arifin (tiga dari kiri, belakang) merakamkan gambar kenangan bersama para ahli PMBS.
KOTA KINABALU: Buku berkaitan masakan tradisi dan bahasa Brunei akan dilancarkan dalam Karnival Baurung-Urung Kali Ke-2, Sabtu ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata penerbitan buku-buku tersebut merupakan salah satu usaha penganjur, Persatuan Melayu Brunei Sabah (PMBS) untuk memperkenal dan melestarikan seni budaya masyarakat Brunei.
“Pelbagai acara disediakan untuk program ini seperti mana tahun lps kita ada gerai-gerai pelbagai makanan, jualan, kraf dan sebagainya.
“Sudah pasti PMBS turut menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan nilai perpaduan di Sabah.
“Oleh yang demikian, kita akan menerbitkan beberapa buah buku dan kita lancarkan buku yang berkaitan dengan makanan tradisi, bahasa dan beberapa buah buku lagi,” jelas beliau.
Menurut Arifin yang juga Presiden PMBS, selain mengetengahkan bakat bermain alat muzik tradisional seperti pertandingan gambus dan kulintangan, karnival dua hari itu juga mengadakan pertandingan sajian ambuyat melibatkan 20 cawangan dari seluruh Sabah.”Pada tahun ini, kita akan menerbitkan buku masyarakat Brunei, mencipta logo serta lagu sempena karnival ini, di samping pertandingan gambus dari seluruh Sabah ada 20 cawangan.
“Selebihnya, kita menambah baik program-program sedia ada seperti mana kita kembangkan pertandingansajian ambuyat dgn pelbagai variasi cecah dan sebagainya,” ujarnya di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, kata Arifin, pihaknya juga berharap karnival terbabit dapat mengeratkan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan ahli persatuan, malah masyarakat berbilang kaum dari dalam dan luar Sabah.
“Kita telah mengundang usahawan-usahawan dari Negara Brunei Darussalam yang mana kita akan mengadakan bersama-sama expo halal.
“Melalui ekspo ini, kita bakal menjalankan aktiviti menandatangani MOU menerusi MUIS Halal Hub dengan beberapa usahawan dari luar negara.
“Apa yang sangat penting ialah sambutan karnival ini seperti mana tahun lepas dan yang kita inginkan ia mampu mengeratkan silaturahim sama ada dalam kalangan ahli-ahli, mahupun yang paling penting ialah mempererat masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Sambil memperkenalkan tradisi seni budaya yang akan kita lestarikan, saya juga berharap program ini akan dihadiri oleh semua lapisan masyarakat pelbagai kaum supaya kita sama-sama raikan karnival dua hari,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang mencipta logo serta pertandingan mencipta lagu sempena karnival itu.
Oleh itu, masyarakat di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dijemput hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah bagi memeriahkan karnival yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.


































