Masiung mendengar taklinat dari PDRM ketika melawat pameran keselamatan sempena program tersebut.
TONGOD; Ketua-ketua masyarakat di daerah ini akan berdepan tindakan pemecatan termasuk diheret ke mahkamah jika terbukti melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah memberi amaran bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana ketua adat atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) jika tidak melaporkan kewujudan PATI di kampung di bawah jagaan mereka.
“Jika ada bukti kukuh mereka bersekongkol dengan mana-mana syarikat atau majikan yang menggaji PATI, pemimpin terbabit akan dipecat serta-merta,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Keselamatan di sini pagi tadi.
Masiung bertegas, hukuman berat juga bakal menanti mana-mana individu atau majikan di daerah ini yang mengambil PATI bekerja iaitu tanpa dokumen dan pas yang sah.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu mahu setiap pemimpin dan anggota masyarakat tidak bermuslihat dengan mana agen-agen pekerjaan melibatkan PATI untuk tujuan komersial.
Menurutnya, indek jenayah di negeri ini yang melibatkan PATI merekodkan kes tertinggi.
Masiung mengesa, ketua-ketua kampung dan JKKK hendaklah mengawasi pengusaha ladang sawit dan getah di kawasan masing-masing supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati ada antara mereka menggaji pekerja di kalangan PATI.
Lebih 300 peserta terdiri daripada ketua-ketua Kampung, pengerusi JKKK dan pemimpin setempat menghadiri program sehari anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Pejabat Daerah Tongod yang diadakan di Dewan Terbuka Dataran Tongod.
Turut mengambil bahagian dalam pameran program itu ialah Jabatan Oftalmologi Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Regimen 516 Askar Wataniah, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Celcom.
Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Ulok, Ketua Wilayah MKN Kota Kinabalu, Amirsyah Mohd. Nor dan Ketua Wilayah (MKN) Sandakan, Monday Fadzli Zainal Abidin turut hadir pada perasmian program sehari itu.


































