Dr. Zaliha Mustafa
POH: Seramai 2,083 lagi pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perjawatan tetap pada hujung tahun ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menyerap 12,800 doktor kontrak sebagai lantikan tetap.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu akan dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Diberikan perjawatan tetap itu ialah 12,800 untuk tempoh tiga tahun berturut-turut. Kita telah melaksanakan sebahagian daripada penempatan itu.
“Dengan kerjasama SPA, kita akan menawarkan pelantikan tetap lagi untuk 2,083 tambahan pegawai perubatan kontrak ke tetap. Kita jangka untuk mereka melapor diri di fasiliti kita pada akhir Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2023 Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Dilaporkan pada April lalu, kerajaan komited untuk menyerap seramai 12,800 doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun bermula dengan hampir 4,300 pegawai kontrak diserap sebagai lantikan tetap pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dan dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.
Menurut Kementerian Kesihatan, Istiadat Konvokesyen Zon Semenanjung akan meraikan seramai 6,120 graduan diraikan. Istiadat Konvokesyen tahun ini disertai oleh 8,643 graduan daripada pelbagai program pengajian di ILKKM seluruh negara.
Tambah Dr. Zaliha, pada tahun ini KKM melalui SPA telah menerima sejumlah 1.4 juta permohonan untuk menyertai program latihan di bawah ILKKM.
“Ini menunjukkan bahawa ILKKM setanding dengan institusi–institusi atau agensi-agensi lain yang menyediakan program latihan anggota Sains Kesihatan.
“ILKKM juga merupakan penyumbang terbesar bagi pengeluaran anggota kesihatan yang terlatih. Dalam tempoh lima tahun ini sahaja dari tahun 2018 hingga Jun 2023, seramai 14,619 graduan ILKKM telah kita serap ke dalam perkhidmatan,” katanya.


































