KOTA BHARU: Polis sudah merakamkan keterangan ke atas ibu bapa kepada kanak-kanak yang terjatuh semasa kereta membuat pusingan U pusingan U di kawasan lampu isyarat di Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran Kota Sri Mutiara, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, keterangan itu dirakam selepas ibu bapa kanak-kanak berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan berkait dengan insiden berkenaan.
“Mereka (bu bapa) telah berkenaan memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak polis.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih lagi diteruskan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan, polis giat mengesan pemandu dan seorang budak yang dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) selepas terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta ketika membuat pusingan U di kawasan lampu isyarat di Jalan Sultan Yahya Petra berhampiran Kota Sri Mutiara, di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.42 petang berpandukan kepada rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang tular.
Kelmarin, tular rakaman di laman sosial yang memaparkan seorang budak lelaki dirempuh sebuah SUV selepas terjatuh dari pintu belakang sebuah kereta yang sedang membuat pusingan U di kawasan lampu isyarat depan Kota Sri Mutiara, Jalan Sultan Yahya Petra di sini.
Berdasarkan video itu, sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu sedang membuat pusingan U di lampu isyarat yang terletak di depan kompleks beli-belah itu.
Semasa sedang melakukan pusingan, pintu belakang sebelah kiri kereta itu tiba-tiba terbuka sebelum seorang kanak-kanak terjatuh dari kereta tersebut.
Sebuah kereta yang berwarna putih yang berada di belakang Honda City itu sempat mengelak, namun sebuah SUV jenis Perodua Attiva kemudiannya merempuh kanak-kanak tersebut.
Rempuhan itu mengakibatkan budak itu jatuh tergolek sebelum bingkas bangun dalam keadaan terpinga-pinga pergi ke arah sebuah motosikal yang dinaiki sebuah keluarga.
Penunggang motosikal itu kemudiannya dilihat mendukung dan menenangkan budak itu sebelum membawanya ke arah kereta yang dinaiki kanak-kanak tersebut.
Difahamkan, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


































