Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Tiga pekerja lelaki cedera selepas terjatuh semasa melakukan aktiviti menyelenggara bangunan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, kejadian berlaku di di bangunan sebuah syarikat di Pusat Perindustrian Sepanggar, pada kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 11.02 pagi dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Asama Saruddin dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 24 kilometer dari BBP itu, didapati tiga orang mangsa terjatuh dari scaffolding semasa melakukan aktiviti penyelenggaraan bangunan.
“Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital oleh majikannya dan ambulans KKM sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi bomba ditamatkan pada jam 11.46 pagi.


































