Keadaan kereta dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Seorang penunggang motorsikal maut manakala dua lagi mangsa lain cedera apabila kenderaan mereka bertembung di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Madzlan Sarman berkata, kejadian itu berlaku di Kampung Sinallang Tengah, pada jam 12.15 tengah hari.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lima anggota diketuai Komander Operasi, PB Muhammad Lutfi Mayol bergegas ke lokasi.
Setiba di tempat kejadian sejauh 10 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FLX bertembung dengan sebuah motosikal.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat, iaitu seorang mangsa lelaki (penunggang motosikal) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan KKM, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut Madzlan, dua mangsa di kereta mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan jentera bomba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba membersihkan sisa-sisa kemalangan dengan menggunakan satu aliran hose reel dan operasi ditamatkan pada jam 1.10 petang,” katanya.


































