Keadaan Fortuner dan lori yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
SEMPORNA: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Madzlan Sarman berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Karisia Abd. Mulah, 65, meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di Batu 32, Jalan Inagus, Semporna-Tawau, pada jam 10 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan lima anggoya diketuai Komander Operasi, PB Aziz Kisun dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh 27 kilometer dari BBP itu, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner bertembung dengan sebuah lori.
“Terdapat dua mangsa tersepit dalam Fortuner iaitu pemandu, Karisia Abd. Mulah, 65, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut Madzlan, seorang lagi iaitu penumpang mengalami cedera parah dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Semporna menaiki jentera ambulans untuk rawatan lanjut.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 11.30 pagi setelah pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain.
































