Hajiji bergambar bersama Menteri-menteri, Pembantu-pembantu Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Ketua Pesurujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan penjawat-penjawat awam yang hadir pada Majlis Konvensyen Integriti, Tabir Urus dan Antirasuah Tahun 2023 (KITA 2023), dan Sesi penyerahan Sijil Tampat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) siri Bilangan 3 Tahun 2022 Kerajaan Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam perkhidmatan awam negeri, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, penganjuran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 adalah inisiatif perdana yang mendukung pemboleh daya ini ke arah kecemerlangan sistem pentadbiran negeri yang cekap berlandaskan integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Justeru itu katanya, lima strategi utama telah digariskan untuk melaksanakan inisiatif- inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti berkenaan iaitu pertama melalui Komitmen Pengurusan Atasan.
“Kepimpinan Kerajaan Negeri amat menitik beratkan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan, yang mana ia dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi dalam memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA (governans, integriti dan antirasuah).
“Kedua,memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi. Pengurusan risiko rasuah dilaksanakan di setiap agensi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai agar bertanggungjawab dalam setiap tindakan dan kuasa yang diberi.
“Ketiga, memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Keempat, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan oleh setiap pihak berkepentingan dalam organisasi di semua agensi Kerajaan Negeri dan kelima, pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai-nilai murni dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran pegawai kerajaan dalam membanteras isu integriti dan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KITA 2023 dan Sesi Penyerahan Sijil Tamat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) Siri 36 Bilangan 3 Tahun 2023 Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji meletakkan batu berlian sebagai gimik perasmian Majlis Konvensyen Integriti, Tabir Urus dan Antirasuah Tahun 2023 (KITA 2023), dan Sesi penyerahan Sijil Tampat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) siri Bilangan 3 Tahun 2022 Kerajaan Negeri Sabah sambil diperhatikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Ketua Pesurujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di SICC, Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam pada itu Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sahaja sedang berusaha keras memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negeri, tetapi juga memantapkan sistem penyampaian Kerajaan, agar menjadi lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.
Bagi mencapai usaha itu katanya, ia memerlukan penjawat awam yang berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti dalam memikul dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.
“Di Sabah, Kerajaan Negeri memetakan Hala Tuju SMJ sebagai landasan dengan hasrat membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan tanggungjawab setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pemboleh daya keempat dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2021 – 2025 adalah Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti. Nilai integriti merupakan asas dan keperluan utama dalam mencapai misi dan visi yang telah disasarkan.
“Bagi tujuan ini, kecemerlangan tadbir urus boleh dicapai melalui empat strategi utama, iaitu meningkatkan agenda antirasuah; penerapan nilai-nilai murni dan etika kerja terbaik; memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang; serta pembangunan pelan antirasuah organisasi,” katanya.
KITA 2023 yang mengangkat tema “Integriti Teras Perkhidmatan Madani” adalah aspirasi Kerajaan Negeri untuk menganjurkan satu konvensyen bertemakan integriti yang telah dizahirkan ketua menteri ketika majlis Hari Integriti Negeri Sabah Tahun 2022.
Lebih menarik lagi, KITA 2023 menjadi mercu kebanggaan kerajaan negeri Sabah sebagai tuan rumah rasmi yang mempunyai hak eksklusif sebagai penganjur. Status ini menjadikan Sabah sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA di Malaysia.
“Tidak ketinggalan juga pendidikan kesedaran antirasuah dikembangkan kepada semua peringkat usia dan memperkukuhkan lagi agenda mempromosi serta mendidik masyarakat mengenai nilai murni dan membina sahsiah terpuji.

Hajiji menyampaikan Sijil Apresiasi Penambahbaikan Tata kelola Agensi (APTA) kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair pada Majlis Konvensyen Integriti, Tabir Urus dan Antirasuah Tahun 2023 (KITA 2023), dan Sesi penyerahan Sijil Tampat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) siri Bilangan 3 Tahun 2022 Kerajaan Negeri Sabah di SICC, Kota Kinabalu, hari ini.
“Saya mengharapkan supaya segala inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan agar mampu memberikan manfaat dan pulangan langsung kepada rakyat,” kata Hajiji, sambil menambah pengukuhan integriti merupakan komponen yang penting dalam melestarikan budaya integriti.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif Minggu Integriti Kementerian melibatkan 10 kementerian dan Jabatan Ketua Menteri.
“Pelaksanaan Minggu Integriti ini diselaraskan secara bergilir-gilir selama satu minggu melibatkan komitmen menteri, pengurusan tertinggi, pegawai dan semua warga Kementerian termasuk jabatan, badan berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarikat berkepentingan kerajaan (SBK).
“Program ini merupakan kejayaan besar buat Sabah melihat kepada kapasiti penglibatan yang menyeluruh, kualiti program dan satu-satunya dilaksanakan di Malaysia,” katanya.
Katanya, sebagai hala tuju dalam merakyatkan sistem penyampaian berintegriti, Kerajaan Negeri komited untuk terus mempelopori, menerajui dan menjadi penanda aras segala usaha pemantapan GIA di Malaysia melalui tiga terma rujukan iaitu pertama, melaksanakan penginstitusian tadbir urus berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam perkhidmatan.
“Kedua, memperkasakan sistem pengurusan aduan awam yang cekap dan berkesan dan ketiga, memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa dilaksanakan,” katanya.


































