Anggota penyelamat mendukung mangsa turun ke Timpohon Gate. – Ihsan Bomba
RANAU: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menyelamatkan seorang pendaki wanita yang tidak dapat meneruskan pendakian kerana sakit di bahagian perut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 4 Layang-Layang denai mendaki Gunung Kinabalu, kira-kira jam 1.40 tengah hari kelmarin.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai dan sepasukan lima anggota MOSAR diketuai Pegawai Operasi, PBB MOSAR Wandy John bergegas ke tempat kejadian.
“Apabila pasukan tiba di lokasi yang terletak empat kilometer dari Pos MOSAR, didapati seorang pendaki wanita berusia 29 tahun mengalami sakit perut dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
“Anggota penyelamat dengan bantuan Malim Gunung memberikan rawatan awal kepada mangsa dan kemudian membawanya turun ke Timpohon Gate menggunakan kaedah piggy-back,” katanya.
Menurut Ridwan, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan yang menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Keseluruhan operasi tamat pada jam 5.32 petang kelmarin.


































