Karunanithy (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama juruhebah SabahFM.
KOTA KINABALU: Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 akan diadakan bermula Isnin hingga Rabu depan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S. Karunanithy Y. Subbiah berkata penganjuran konvensyen ini tercetus atas aspirasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang dijangka merasmikan konvensyen tersebut.
Menurutnya, KITA 2023 mengangkat tema “Integriti Teras Perkhidmatan Madani” sebagai asas dan lembayung yang memayungi pengisian dan tujuan utama penganjuran.
“Dijangkakan seramai 2,300 orang peserta dari seluruh Malaysia akan hadir pada konvensyen yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri, penjawat awam serta pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah.
“Diharap hasil dari pelaksanaan KITA 2023 ini akan dapat memberikan impak serta pendedahan kepada peserta berkaitan integeriti dan seterusnya dapat diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka,”katanya ketika ditemui media selepas Sesi Temubual bersama Sabah FM di sini, pada Jumaat.
Menurut Karunanithy, antara pengisian utama konvensyen ialah sesi plenary yang akan disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Datuk Nor Azmi Karim.
“Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Zainuddin Aman dan Pengurus Besar Jabatan Integriti dan Governans Prolintas, Dr Rozaidi Abdul Rahim juga akan bertindak menjadi moderator kepada dua Forum Interaktif,” jelas beliau.
































