Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
TUARAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dihempap sebatang pokok tumbang di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Abd. Qawie Abd. Gapar berkata, mangsa Syair Sukma,45, dihempap pokok semasa menunggang motorsikal di Jalan Impian Jadi, di sini.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 7.58 pagi dan sepasukan sembilan anggota diketuai Pegawai Operasi, PB Leo Sabidol bersama sebuah jentera FRT dan sebuah van EMRS dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi yang terletak 11 kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang mangsa bernama Syair Sukma, 45, dihempap pokok semasa menunggang motorsikal.
“Pasukan bomba bertindak memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap mangsa itu ke bahu jalan,” katanya.
Menurut Abd. Qawie, mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak polis seterusnya mangsa dibawa ke hospital oleh pihak forensik polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.45 pagi.


































