Masiung (tengah) dan Samad bersama pemimpin dan ahli perwakilan Gagasan Rakyat Bahagian Labuk.
BELURAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu membentuk jentera barisan hadapan tanpa menunggu sehingga tibanya Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Beliau turut menyeru Gagasan Rakyat di peringkat bahagian bersiap siaga membentuk jentera politik bersama dengan parti-parti komponen GRS.
“Parti-parti komponen GRS di peringkat bahagian harus senada dalam pembentukan hentera parti ini bagi merungkai isu-isu berbangit di setiap kawasan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Labuk yang diketuai oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri di Dewan Masyarakat Beluran, semalam.
Masiung berkata, pimpinan Gagasan Rakyat di peringkat bahagian tidak boleh gah dengan bergerak secara solo melainkan melalui platform GRS.
Wakil Rakyat Kuamut itu berkata, para pemimpin Pemuda dan Beliawanis juga perlu mengajak golongan muda khususnya untuk memanfaatkan teknologi maklumat dalam menghadapi pilihan raya.
“Parti-parti tempatan dan nasional yang telah mengistyharkan perang kepada GRS harus digempur menggunakan pelbagai strategi,” tegasnya, sambil mengingatkan ahli-ahli Gagasan Rakyat supaya tidak leka dengan kekuatan yang dimiliki oleh parti dan GRS.


































