Armizan ketika menyampaikan perkongsian pada program tersebut.
KOTA KINABALU: Seramai 200 orang ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri menyertai Program Wacana Madani “MA63 : Aspirasi 60 Tahun Sabah Dalam Malaysia”.
Pengarah Keselamatan Negeri Sabah, Datuk Noor Alam Khan A Wahid Khan berkata program merupakan wadah penting kerana selaku pengemudi di jabatan kerajaan adalah perlu mempunyai pengetahuan dan ia merupakan tanggungjawab serta komitmen bersama dalam memperjuang hak serta kepentingan Sabah melalui MA63.
“Ia juga bagi memastikan setiap fakta yang akan dikemukakan terutamanya kepada kerajaan persekutuan adalah tepat.
“Program ini merupakan wadah terbaik bagi memberi penerangan berkaitan Perjanjian MA63 seterusnya memastikan akar umbi memahami dengan lebih komprehensif pelaksanaan serta tindakan melibatkan perjanjian berkenaan,” katanya pada Program Wacana Madani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas – Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali “MA63 : Aspirasi 60 Tahun Sabah Dalam Malaysia” di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Beliau berharap program tersebut berupaya memacu negara sebagai sebuah persekutuan yang utuh dan perkasa.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah dan Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri ini membincangkan peranan kerajaan untuk menyelesaikan perihal berkaitan Sabah dalam Malaysia serta memurnikan persepsi yang berlegar dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah.
Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin; Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Toisin Gantor dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Negeri, Datuk Zainudin Aman.































