Keadaan kereta Perodua Bezza yang remuk selepas bertembung dengan kereta jenis BMW yang dipandu secara melawan arus Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Pulau Pinang awal pagi kelmarin.
GEORGE TOWN: Seorang lelaki cedera di bahagian abdomen selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW yang dipandu seorang wanita tempatan secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, awal pagi kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke pusat bandar.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki warga tempatan yang memandu sebuah kereta jenis Perodua Bezza dari Sungai Petani menuju ke Taman Kristal, Mount Erskine telah bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW berwarna putih yang dipandu oleh seorang wanita tempatan dalam keadaan melawan arus.
”Akibat daripada perlanggaran tersebut, pemandu kereta Perodua Bezza telah mendapat kecederaan pada bahagian abdomen dan masih menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang,” katanya di sini kelmarin.
Sebelum ini, tular di laman sosial kejadian sebuah kereta jenis BMW berwarna putih dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dari arah pusat bandar menghala ke Jambatan Pulau Pinang hingga menyebabkan perlanggaran dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Menurut Soffian, pemandu kereta BMW masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang akibat kecederaan di bahagian dada.
”Setakat ini, keterangan daripada kedua-dua pemandu belum dapat diambil kerana mereka masih menerima rawatan lanjut di hospital.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut, Inspektor Mohd Azli Khairil Mat Lazin di talian 019-5946806 bagi membantu siasatan.
”Pihak polis menasihati orang awam khususnya pengguna jalan raya agar sentiasa peka terhadap arahan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan yang tidak diingini daripada berlaku,” katanya.