Victor (kiri) ketika sesi kunjungan hormat terhadap Tun Juhar.
KOTA KINABALU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus mengukuhkan kerjasama dengan rakan strategik untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Komander Eastern Command, DCP Victor Sanjos berkata menerusi kaedah tersebut pihaknya berjaya mengawal Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang merangkumi 10 daerah bebas daripada jenayah rentas sempadan termasuk kes-kes penculikan.
“Setakat ini, tahap keselamatan di ESS Zone berada dalam keadaan tenang dan terkawal.
“Kes penculikan yang terakhir direkodkan adalah pada 15 Januari 2020.
“Walaupun begitu, pasukan ESSCOM bersama-sama dengan rakan strategik akan terus merancang kaedah untuk memperkukuh dan mempertahankan ESS Zone agar kekal selamat,” ujarnya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Menurutnya, kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan diri kepada Tun Juhar sebagai Komander Eastern Command yang baharu menggantikan DCP Mohd Ali Tamby yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa 3 Julai lepas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, ESSCOM kini giat mengadakan program Semarak ESSCOM di sekitar kawasan ESS Zone.
Beliau menjelaskan program tersebut bertujuan untuk memberikan maklumat kepada masyarakat dan komuniti kepentingan peranan orang awam dalam menjaga keselamatan.
Turut hadir, Timbalan Komander Eastern Command, Brigadier Jeneral Ts Roslan Mat Saad yang juga Ketua Staf Bahagian Tadbir dan Logistik, Terry Henry, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Mohd Dzulhairul Shah Dzulkifli, Pengarah Bahagian Tindakan Awam dan Ab Rasil Hajatil, Pengarah Bahagian Khidmat Keurusetiaan ESSCOM.





























