Mohamad bercakap pada sidang media khas yang diadakan hari ini.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju agar harga beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak diserap oleh Kerajaan mulai 5 Oktober ini bagi menbolehkan BPI diperolehi dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10kg.
Ini memandangkan pengeluaran beras putih tempatan di Sabah dan Sarawak terhad.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang memaklumkan ini berkata, ini merupakan antara empat langkah intervensi drastik yang telah dipersetujui oleh Perdana Menteri.
Mohamad berkata, selain itu, Perdana Menteri juga bersetuju agar pemerkasaan edaran beras putih tempatan (BPT) melalui FAMA akan diperluaskan dengan meningkatkan pengedaran di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
Katanya, Perdana Menteri juga bersetuju bahawa terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi Kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan BPT. Sehubungan itu, Kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak Kerajaan menggunakan BPI. Semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang) dalam kampit 50kg tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. Ini bagi memberi keutamaan pembekalan BPT kepada rakyat.
“Ini selain melancarkan Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) yang melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). OP BPT ini akan memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan di kesemua peringkat rantaian pembekalan BPT,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di sini hari ini selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Menurut Mohamad, Kerajaan amat peka serta prihatin kepada keluh kesah rakyat ekoran kenaikan harga BPI di pasaran ekoran kenaikan harga beras global.
Fenomena kenaikan harga beras ini bukan hanya berlaku di Malaysia malah turut melibatkan negara serantau, tambahnya.
“Sebanyak 19 negara telah membataskan eksport ke negara luar untuk memberi keutamaan kepada rakyat sendiri. Sebagai contoh negara India telah mengenakan sekatan eksport beras mulai Julai 2023 dan telah memberi kesan kepada kenaikan harga beras putih global.
“Pelbagai langkah intervensi telah dilaksanakan oleh Kementerian bukan sahaja melibatkan elemen penguatkuasaan semata-mata.
“Namun, pelbagai sesi libat urus telah dilaksanakan untuk mendapatkan input daripada semua pihak berkepentingan dalam industri padi dan beras. Ini bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga BPI dan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan (BPT) di pasaran,” jelasnya.
Katanya, pengedaran BPT melalui Program Khas Beras Putih Tempatan yang beliau lancarkan pada 20 September 2023 telah menampakkan hasil dengan jumlah agihan sebanyak lebih 600,000 kampit BPT 10 kg di seluruh Semenanjung.































