Pasukan bomba ketika berusaha memadamkan kebakaran itu. – Ihsan Bomba
SIPITANG: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas satu kebakaran memusnahkan rumahnya dan sebuah kereta di sini petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, PPgB Calvin Joe Jeafery berkata, mangsa dikenalpasti sebagai Wong Fook On, 66, ditemukan di bahagian dapur selepas kejadian yang berlaku di Kuari 1, Kampung Melaliah, pada kira-kira jam 6 petang.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian balai pada jam 6.39 petang dan sepasukan 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Stefanus Lolon Andreas dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian yang terletak 13 kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 40×60 kaki persegi terbakar 100 peratus.
“Turut terlibat sebuah kereta jenis Proton Iswara terbakar 100 peratus. Terdapat seorang mangsa lelaki bernama Wong Fook On, 66, ditemukan rentung di bahagian dapur,” katanya.
Calvin berkata, operasi pemadaman menggunakan dua pancutan 300 kaki sumber air dari tangki jentera, dan operasi terkawal pada jam 8.05 malam.
“Mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, sambil menambah, setelah pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 10.36 malam.































