KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan tidak wujud ‘Hard Ban’ ke atas inap desa (homestay) seperti yang didakwa dalam video tular di media sosial oleh dua lelaki dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia yang membincangkan isu ‘Sabah Ban Homestay’ baru-baru ini.
Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, definisi rasmi bagi inap desa atau homestay mengikut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC, 1995) ialah: ‘…di mana pelancong tinggal bersama dengan keluarga tuan rumah dan mempelajari gaya hidup serta budaya mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung’.
Katanya, pengujudan inap desa ini adalah bagi menampung kekurangan bilik hotel di sesetengah lokasi terutama lokasi yang kecil dan terpencil yang tidak mempunyai hotel, chalet, resort dan seumpamanya.
Konsep inap desa ini juga dapat menjana pendapatan tambahan kepada penduduk setempat seperti di kampung-kampung tradisional, tambahnya.
“Unit-unit apartment, kondominium atau flat yang telah diluluskan sebagai kegunaan untuk kediaman adalah tidak dibenarkan untuk aktiviti ‘serviced apartment’ atau Airbnb atau rumah penginapan jangka pendek (short stay rental) untuk disewakan kerana ianya tidak mematuhi keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat, contohnya keperluan ‘sprinkler system’.
“Pembangunan seperti ini juga adalah jenis subsidiary atau strata title yang mana sekiranya ditukar menjadi unit penginapan untuk disewakan ianya akan melanggar House Rules Badan Pengurusan (Management Corporation) bangunan.
“Pembangunan unit-unit kediaman yang diluluskan sebagai serviced suite pula adalah jenis komersial di mana DBKK tidak menghalang aktiviti penginapan untuk disewakan di unit-unit seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Junainah berkata, DBKK sangat menyokong kewujudan inap desa dengan mematuhi syarat-syarat termasuk yang ditetapkan oleh pihak MOTAC di bandaraya Kota Kinabalu.
“Buktinya, DBKK telah lama mengambil inisiatif untuk membangunkan pelancongan berasaskan komuniti termasuk inap desa dan telah didaftarkan di bawah MOTAC.
“Antara inap desa tersebut adalah Homestay Desa Cinta Kobuni, Homestay Id Kalangadan dan Homestay Darau Wetland termasuk inap desa yang bakal didaftarkan iaitu Homestay Kampung Binaung Baru.
“Oleh itu, tidak ada sekatan perniagaan inap desa disebabkan persefahaman yang wujud dengan pelabur Korea atau Jepun seperti yang dikatakan oleh individu tersebut. Pemilik rumah boleh menyewakan rumah penginapan mereka dengan syarat mereka mematuhi kelulusan pelan bangunan atau syarat yang ditetapkan untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
“Pengusaha-pengusaha yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan tidak pernah dikenakan hard ban dengan kompaun sebanyak RM5,000.00 ataupun RM3,000.
“Peruntukan kadar kompaun yang wujud di bawah Undang-Undang Kecil sedia ada adalah sebanyak RM500 sahaja.”
Namun demikian, kata Junainah, tidak dinafikan bahawa DBKK sering menerima aduan daripada pihak pengurusan bangunan malah orang awam mengenai terdapat pemilik unit-unit kediaman menjalankan aktiviti inap desa atau hotel tanpa lesen.
Ini disebabkan penyewa yang menginap di unit tersebut telah menyebabkan kacau ganggu terhadap jiran-jiran rumah yang lain, jelasnya, sambil memberi contoh, penyewa tersebut telah menggunakan fasiliti awam seperti kolam renang dan lain-lain yang mengganggu privacy pemilik-pemilik rumah kediaman sedia ada.
“Tindakan yang dilakukan oleh pihak DBKK pada masa kini adalah meminta pihak pengurusan bangunan untuk menguatkuasakan House Rules yang telah ditandatangani antara pemilik rumah dan pihak pengurusan bangunan.
“Di samping itu, pihak pengurusan bangunan juga diminta untuk membuat kawalan keselamatan yang ketat agar unit-unit rumah tersebut tidak dimasuki oleh pengunjung luar,” katanya.
“Pihak DBKK ingin menekankan bahawa tidak wujud Hard Ban ke atas inap desa seperti yang dikatakan oleh individu tersebut.
“Jika dilihat dari statistik ketibaan pelancong tahun 2023 setakat bulan Mei ke negeri Sabah adalah berjumlah 988,680 di mana pintu masuk utama ke negeri ini ialah bandaraya Kota Kinabalu.
“Ini menunjukkan bandaraya Kota Kinabalu tetap menjadi tumpuan pelancong tempatan, pelancong dari Semenanjung Malaysia mahupun pelancong antarabangsa. Mereka yakin dan selesa dengan kemudahan yang ditawarkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan sama ada dari segi pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan, pengangkutan dan penginapan yang selesa,” kata Junainah lagi.
Tambahnya, selain itu, DBKK juga mengambil maklum berkenaan kenyataan individu tersebut yang menyatakan ‘hotel-hotel dimonopoli oleh syarikat dari Korea dan Jepun’ dan ‘perletakan syarat dengan pihak pelabur Korea dan Jepun sekiranya tidak ban homestay ini, pelabur Korea dan Jepun akan exit dari Sabah’.
“Faktanya, DBKK atau mana-mana agensi tidak mempunyai persefahaman sedemikian yang bukan sahaja boleh mengundang kemarahan kepada pelabur tempatan malah menyekat peluang ekonomi penduduk Bandaraya Kota Kinabalu. Free Enterprise sememangnya telah lama dilaksanakan dan tiada isu monopoli seperti yang dimaksudkan.”
Junainah berkata, DBKK sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang mentadbir bandaraya Kota Kinabalu memandang serius perkara ini yang mana perbuatan tidak bertanggungjawab individu tersebut boleh mencetuskan kebimbangan di kalangan orang awam, pelancong, pelabur dan pengusaha inap desa sedia ada malah hubungan antarabangsa dengan pihak Korea dan Jepun.
“Ianya sekaligus boleh menjejaskan imej industri pelancongan yang sedang pesat berkembang di Sabah terutama di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.
“Oleh itu, DBKK menasihatkan orang awam untuk tidak berkongsi sebarang pernyataan sekiranya tidak pasti.
“Pihak DBKK boleh mengenakan tindakan perundangan kepada sesiapa yang tidak bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat tidak sahih dan boleh menjejaskan reputasi DBKK amnya, bandaraya Kota Kinabalu khasnya,” tegasnya.































