PETALING JAYA: Tiga ahli kumpulan Blackpink, Lisa, Jennie dan Ji Soo didakwa menolak tawaran pembaharuan kontrak mereka dengan pengurusan, YG Entertainment.
Manakala, seorang lagi ahli kumpulan popular itu, Rosé dikhabarkan akan tetap setia bersama pengurusan tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, dalam satu laporan, ketiga-tiga penyanyi itu bagaimanapun akan tetap bersama Blackpink dan meneruskan kerjaya muzik berkumpulan biarpun berbeza syarikat pengurusan.
Mereka bertiga dikatakan perlu mempromosikan aktiviti kumpulan yang popular dengan lagu Shut Down itu selama enam bulan setahun walaupun masing-masing diwakili agensi luar.
Menurut sumber, Ji Soo dikatakan mahu memberi fokus kepada kerjaya lakonannya sementara Lisa pula dikhabarkan sudah menerima tawaran pengurusan eksklusif bernilai jutaan ringgit.
Bagaimanapun, masih tiada sebarang laporan berhubung perancangan Jennie selepas melangkah keluar daripada pengurusan tersebut.
YG Entertainment dalam satu kenyataan menolak dakwaan tersebut dan menegaskan sebarang keputusan berkaitan kumpulan tersebut belum diputuskan serta masih dibincangkan.
“Tiada apa-apa yang disahkan lagi dan kami sedang membincangkannya,” ujar YG Entertainment dalam satu kenyataan.