KLUANG: Seorang lelaki yang melakukan perbuatan tidak senonoh iaitu beronani di atas motosikal di Taman Delima dekat sini berjaya dikesan dan ditangkap polis daerah Kluang, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian kira-kira pukul 1 pagi pada 20 September itu dikesan tular melalui laman sesawang Facebook berdurasi 34 saat sejak kelmarin.
Katanya, hasil siasatan mendapati lelaki warga tempatan berusia lingkungan umur 21 tahun itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain saringan air kencing negatif daripada pengaruh dadah.
“Bagaimanapun, kes akan disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
“Siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti tujuan lelaki itu melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat terbuka,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Bahrin lagi, perintah tahanan reman keatas lelaki berkenaan dilakukan hari ini bagi membolehkan siasatan.