Kombinasi muzik elektro (EDM), gerak formasi pancaran laser di luar nalar ditambah pula dengan kehadiran lautan manusia di dalam sebuah konsert pastinya sering dikaitkan dengan ‘bauan’ keburukan yang tidak menyenangkan.
Dalam erti kata lain, ia mampu menjadi pintu lubuk kepada segala permasalahan atau budaya negatif yang sering dipaparkan di kaca televisyen.
Paling tidak pun ketika mahu menggambarkan suasana ‘gelap’ dan ‘jahatnya’ dunia kelab malam yang masih tabu dalam kalangan masyarakat kita khususnya.
Bagaimanapun, segala gambaran negatif itu tidak terwujud di dalam penganjuran konsert Alan Walker Walkerverse yang selesai diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, hujung minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, cukup bersih dan terhindar daripada sebarang isu tidak menyenangkan, seramai 4,000 peminat yang hadir ternyata benar-benar cuma mahu menikmati muzik pada satu citarasa yang sama.
Memberi tumpuan penuh kepada produser muzik dan DJ popular dunia tersebut, rata-rata peminat sememangnya sudah lama menantikan kunjungan Alan ke Malaysia.
Paling menarik, Malaysia juga menjadi destinasi terakhir untuk Alan menamatkan konsert jelajah itu setelah hampir setahun DJ ini mengikat komitmen bagi melunaskan satu persatu lokasi terpilih di seluruh dunia.
Ia termasuk sebelum ini di Eropah, Amerika Utara dan Asia.
Bagaimanapun, timbul persoalan mengapa pemasaran atau promosi untuk konsert Alan ini tidak begitu gempak diuar-uarkan.
Walhal, rasanya, tidak wujud sebarang isu sensitif mengenai kunjungan Alan ke sini meskipun penganjuran konsert membabitkan artis luar kini dipantau ketat oleh badan penguatkuasa.
Oh, rupa-rupanya ada sebab teknikal di mana tingkat 4 ruang Axiata tersebut terpaksa dikosongkan supaya penonton selesa bergerak dan menikmati muzik secara selamat.
Mungkin membuatkan ramai peminat lain yang tidak berkesempatan hadir berasa kecewa, namun tak mengapalah. Mana tahu pada masa akan datang, Alan berkunjung lagi ke Malaysia demi menghadiahkan konsert yang berbeza?
Menyajikan persembahan penuh bertenaga sepanjang dua jam konsert berlangsung, DJ popular ini boleh dikatakan berjaya meggamatkan seisi Axiata pada kadar masa yang ditetapkan.
Tetap dan padat, persembahan Alan benar-benar mengikut jadual yang dirancang sehinggakan harapan peminat untuk melihat DJ ini sudi ‘belanja’ beberapa buah lagu bonus sebagai encore juga tidak kesampaian.
Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah.
Tiada rungutan kedengaran dan rata-ratanya seakan sudah cukup berpuas hati dengan energi luar biasa yang diberikan oleh Alan sepanjang konsert itu.
Bayangkan, keseluruhan stadium bertukar futuristik, menyaksikan Alan seakan membawa kesemua peminatnya meroket ke angkasa lepas.
Gabungan muzik, laser yang gempak dan latar grafik yang memukau, menjadikan ia begitu mengena sekali gus menyempurnakan impian peminat yang hadir ke konsert ini.
Seleksi lagu wajib yang dimainkan tentunya Lily, Darkside, Faded, The Spectre, Sorry, All Falls Down, On My Way, Ignite, Not You, Alone dan Sing Me To Sleep.
Selain itu, ada juga beberapa kejutan lagu yang diputar oleh DJ popular ini bagi menggamatkan lagi suasana stadium.
Pendek kata, penamatan konsert jelajah Walkerverse di Malaysia oleh Alan tempoh hari cukup membuatkan peminat beralih ke ‘dunia’ lain walau cuma berlangsung pada satu malam.
Untuk info, Alan yang berusia 26 tahun ini asalnya merupakan seorang YouTuber.
DJ kelahiran Norway ini mencipta fenomena dan populariti tersendiri menerusi genre muzik EDM yang kini menyaksikannya memiliki jumlah pengikut paling ramai iaitu 44 juta pengikut dengan jumlah views atau tontonan tertinggi iaitu sekitar 12.9 bilion.