Pasukan bomba dan ahli keluarga berusaha memujuk lelaki tersebut. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Tindakan pantas pasukan bomba menyelamatkan seorang lelaki daripada cubaan bunuh diri di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi berkata, kejadian berlaku di Inanam Shopping Mall pada kira-kira jam 3 petang.
Katanya, panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 3.06 petang dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Selvister Yamud dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di tempat kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP itu, didapati terdapat seorang lelaki berusia 38 tahun melakukan cubaan bunuh diri di tingkat lima, lot parkir, Inanam Shopping Mall.
“Pasukan bomba bersama ahli keluarga mangsa berjaya memujuk mangsa daripada terjun dari bangunan,” katanya.
Agustavia berkata, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 3.55 petang.