Rizkam (tiga kanan) menyampaikan wang tunai sumbangan kepimpinan DUN Tamparuli itu kepada Ernest (tiga kiri), sambil disaksikan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar (kiri).
TAMPARULI: Kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, yang menggelarkan nama pasukan mereka ‘Boleh Bah Kalau Kau’ (BBKK), menerima sumbangan dari kepimpinan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Pejabat Perhubungan DUN Tamparuli, di sini, kelmarin.
Sumbangan berupa wang tunai tersebut adalah untuk membiayai kos bagi menjalankan projek kajian, penambahbaikan dan ujian inovasi Penapis Air Graviti (Easy Pipe Filter), di sekolah mereka.
Mewakili kepimpinan menyampaikan sumbangan tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli, yang juga Pemaju Mukim dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin.

Rizkam berkata, beliau difahamkan bahawa kumpulan BBKK telah menyertai pertandingan INNOVATHON anjuran pihak Astro dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Kuala Lumpur pada 26-27 Jun 2023, namun mereka hanya mendapat tempat kedua, dan People’s Choice Award Episod 4.
“Walaupun mereka tidak berjaya ke peringkat akhir, namun semangat yang ditunjukkan adik-adik ini perlu kita sokong bagi membolehkan mereka meneruskan kreativiti dan inovasi mereka bagi tujuan membantu masyarakat Sabah, khususnya di Tamparuli, terutamanya yang mengalami masalah kekurangan air bersih,” kata Rizkam.
Pada majlis singkat tersebut, Rizkam turut menyampaikan salam daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.
Sementara itu, Ketua Kumpulan BBKK, Ernest Kelly Subin berkata, kumpulan mereka telah menghasilkan projek inovasi Easy Pipe Filter, yang bakal memudahkan penduduk kampung di Sabah, yang sering mengalami masalah paip tersumbat semasa hujan dan menyebabkan bekalan air terputus.
“Bagaimanapun, kami tidak berjaya ke peringkat akhir dalam pertandingan baharu-baharu ini, yang mana membolehkan kami untuk memasang penapis air ini di seluruh Sabah,” katanya.
Justeru katanya, dengan adanya sumbangan tersebut, maka dapatlah mereka meneruskan usaha ke arah menambah baik projek inovasi Easy Pipe Filter mereka, sebelum dapat dipasang ke mana-mana kampung yang memerlukannya kelak.
Turut sama menyumbang kepada kumpulan tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.































