Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah teruja menyaksikan demonstrasi lansaran.
PENAMPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat rumah tradisi di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA).
Seramai lebih 1,000 penduduk sekitar daerah Penampang menanti ketibaan rombongan konvoi Kembara Kenali Borneo di hadapan KDCA.
Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua yang ditemani anakanda-anakanda disambut oleh Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Selepas melawat ke rumah tradisi Penampang dan Tatana, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Buku Resepi Masakan Tradisi dan meluangkan masa memasak masakan tradisional serta menyantap “ambuyat.”
Seterusnya, Seri Paduka Baginda berdua bersama anakanda-anakanda berkesempatan melakukan aktiviti melastik yang merupakan alat permainan tradisi.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan melaksanakan aktiviti menyumpit dan teruja menyaksikan demonstrasi lansaran yang terdapat di rumah tradisi Murut.
Usai melawat rumah-rumah tradisi, Seri Paduka Baginda berdua ke Dewan Terbuka Koisaan Cultural Village bagi majlis santapan bersama sebelum meneruskan perjalanan Program Kembara Kenali Borneo.